Sektor Perkhidmatan, e-Dagang Berkembang Kukuh Suku Pertama 2022 - DOSM

   Sumber Foto: TripAdvisor


STATISTIK | Sektor perkhidmatan dan e-dagang Malaysia masing-masing mencatat pertumbuhan 10.4 peratus dan 9.3 peratus kepada RM473 bilion dan RM278.2 bilion pada suku pertama tahun 2022, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Ketua Perangkawan dalam kenyataan media pada 12 MEI 2022/Khamis berkata prestasi sektor perkhidmatan pada suku dikaji yang lebih baik dipacu oleh segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan meningkat 9.2 peratus kepada RM378.7 bilion.


Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan ia diikuti oleh segmen maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta dan kesenian, hiburan & rekreasi masing-masing meningkat 16.1 peratus dan 17.3 peratus kepada RM69.5 bilion dan RM15.2 bilion.


"Bagi pendapatan e-dagang, ia melonjak kepada RM278.2 bilion tahun ke tahun tetapi bagi perbandingan suku ke suku, ia merosot 4.2 peratus," katanya dalam laporan Perangkaan Perkhidmatan Suku Tahunan, Suku Pertama 2022 yang diterbitkan pada 12 MEI 2022/Khamis.


Mohd Uzir berkata, analisis mengikut subsektor juga menunjukkan subsektor perdagangan borong & runcit mencatatkan peningkatan tertinggi RM28.5 bilion atau 8.6 peratus tahun-ke-tahun.


"Ini diikuti oleh subsektor pengangkutan & penyimpanan, dan makanan & minuman, masing-masing meningkat 32.2 peratus dan 19.9 peratus kepada RM29.3 bilion dan RM15.5 bilion pada suku pertama 2022.


"Bagi perbandingan suku ke suku, jumlah pendapatan pada suku pertama 2022 merekodkan kenaikan 2.8 peratus atau RM12.9 bilion, didorong oleh subsektor perdagangan borong & runcit dan pengangkutan & penyimpanan, masing-masing meningkat 1.9 peratus dan 8.9 peratus," katanya.


Berikut Adalah Kenyataan Media Penuh :


Hasil sektor Perkhidmatan suku pertama 2022 melonjak ke 10.4 peratus melepasi paras pra-pandemik dengan merekodkan nilai hasil sebanyak RM473.0 bilion


PUTRAJAYA, 12 Mei 2022 – Hasil sektor Perkhidmatan merekodkan RM473.0 bilion pada suku tahun pertama 2022 dengan pertumbuhan dua digit 10.4 peratus, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Perangkaan Perkhidmatan Suku Tahunan, Suku Pertama 2022 yang diterbitkan secara rasmi pada hari ini memaparkan statistik sektor Perkhidmatan yang merangkumi subsektor Perdagangan Borong & Runcit; Maklumat & Komunikasi; Pengangkutan & Penyimpanan; Makanan & Minuman; Profesional; Kesihatan Swasta; Pendidikan Swasta; Penginapan; Kesenian, Hiburan & Rekreasi, Ejen Hartanah dan Pendapatan e-dagang.


Merujuk kepada statistik tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Prestasi sektor Perkhidmatan pada suku pertama 2022 ini dipacu oleh segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan meningkat 9.2 peratus kepada RM378.7 bilion. Ini diikuti oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan dan segmen Kesihatan Swasta, Pendidikan Swasta dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi masing-masing meningkat 16.1 peratus dan 17.3 peratus kepada RM69.5 bilion dan RM15.2 bilion.


Sementara itu, bagi pendapatan e-dagang, Ketua Perangkawan mengulas, “ia merekodkan RM278.2 bilion, peningkatan 9.3 peratus tahun-ke-tahun pada suku tahun pertama 2022. Walau bagaimanapun, bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, pendapatan e-dagang menurun 4.2 peratus.”


Analisis mengikut subsektor juga menunjukkan subsektor Perdagangan Borong & Runcit mencatatkan peningkatan tertinggi RM28.5 bilion atau 8.6 peratus tahun-ke-tahun. Ini diikuti oleh subsektor Pengangkutan & Penyimpanan, dan Makanan & Minuman, masing-masing meningkat 32.2 peratus dan 19.9 peratus kepada RM29.3 bilion dan RM15.5 bilion pada suku pertama 2022.


Ketua Perangkawan turut berkata, “Bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, jumlah hasil pada suku pertama 2022 merekodkan kenaikan 2.8 peratus atau RM12.9 bilion. Peningkatan ini turut didorong oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit dan Pengangkutan & Penyimpanan, masing-masing meningkat 1.9 peratus dan 8.9 peratus.”


Mengulas lanjut, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Jumlah pekerja dalam sektor ini ialah 3.8 juta orang, meningkat sebanyak 99.5 ribu orang atau 2.7 peratus tahun-ke-tahun. Kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit dengan peningkatan sebanyak 72.6 ribu orang atau 3.9 peratus, diikuti subsektor Pengangkutan & Penyimpanan, meningkat sebanyak 22.9 ribu orang atau 7.2 peratus. Bagi suku tahun-ke suku tahun, jumlah pekerja juga menaik 1.0 peratus, meningkat 36.6 ribu orang.


Gaji dan upah yang dibayar juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.2 bilion atau 5.0 peratus tahun-ke-tahun. Peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit yang menaik 6.0 peratus kepada RM13.5 bilion dan diikuti oleh Pengangkutan & Penyimpanan, meningkat 10.3 peratus kepada RM2.7 bilion. Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, gaji dan upah menaik 1.8 peratus untuk mencatatkan RM25.4 bilion pada suku tahun pertama 2022.”


Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April hingga 30 September 2022. DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. 


Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut

Comments